2 buah keluarga terima bantuan kewangan kerajaan





Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan





 

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 27 April. – Dua buah keluarga yang terlibat dalam kejadian banjir dan rumah angin kencang telah menerima bantuan kewangan Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) yang berlangsung di Bangunan KKBS, hari ini.

 

Sebuah keluarga dari Kampung Setia 'A', Daerah Brunei dan Muara merupakan mangsa kejadian angin kencang manakala sebuah keluarga lagi daripada Kampung Negalang Unat, Daerah Temburong di mana mereka menjadi mangsa kepada kejadian banjir. Kesemua mangsa dan penghuni rumah yang terlibat dalam kejadian bencana tersebut dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

 

Penyerahan sumbangan bantuan kewangan kerajaan disampaikan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Awang Mohamad kepada ketua-ketua keluarga yang berkenaan.

 

Pemberian bantuan kewangan ini adalah bagi meringankan kesusahan yang dialami oleh mangsa-mangsa bencana demi kesejahteraan mereka sekeluarga. Usaha ini menunjukkan keprihatinan dan pemedulian pihak kerajaan terhadap rakyat dan penduduk yang mengalami musibah.

 

Close